Internet
telah menjadi pengantara komunikasi yang paling cepat diterima kegunaannya, telefon
mengambil masa 70 tahun, radio 40 tahun, dan televisyen 15 tahun untuk mencapai
kejayaan ini. Pada awalnya penggunaan internet dilihat adalah terhad kepada
fungsinya sebagai rangkaian data, tetapi kini tidak lagi. Internet merupakan
satu saluran untuk meluaskan jualan dan pengedaran dan juga memudahkan
e-dagang, iaitu keupayaan menjalankan perniagaan melalui internet.
Internet
bukan sahaja sebagai satu cara untuk berhubung dengan pelanggan malahan sebagai
satu medium untuk mendapatkan pelanggan baru dan juga sebagai salah satu cara
untuk mengekalkan hubungan dengan pelanggan yang sedia ada. Pada era moden ini
adalah amat mustahil untuk pengusaha dan pengguna mengenepikan penggunaan
teknologi baru sebagai salah satu cara untuk memajukan perniagaan. Perdagangan
elektronik atau pun e-dagang boleh didefinisikan dalam pelbagai bentuk
perspektif sama ada dalam pengurusan, perspektif ahli ekonomi, teknologi dan
juga pemasaran. Dari perspektif pengurusan, e-dagang adalah aplikasi teknologi
ke arah penggunaan jentera dan aliran kerja sesuatu perniagaan.
Perdagangan
Elektronik, juga dipanggil E-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce (EC) adalah sebuah
sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi
maklumat, terutama telekomunikasi canggih sehingga dapat melindungi dan
memuaskan pengguna-penggunanya iaitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan
pihak-pihak yang ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit,
pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi. Kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan
Internet khususnya Web untuk mengadakan satu rangkaian yang menyatukan
pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik
yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai. Dengan e-dagang, sesebuah
syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan beli dari dan di mana
sahaja di dunia ini. Prasyarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam
suasana yang menggunakan teknologi e-dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT
yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan kita mengkases
Internet. Ini sudah tentunya bermula
dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon.
Berdasarkan
perkembangan ekonomi semasa, penggunaan e-dagang dijangka akan melonjak naik
dari setahun demi setahun sesuai dengan meningkatan penerimaan IT dalam kalangan
masyarakat di negara ini. Walau bagaimanapun, di antara yang membelenggu
penerimaan e-dagang secara lebih meluas dalam kalangan khalayak ramai ialah
persepsi bahawa perniagaan e-dagang masih tidak boleh dipercayai dari segi
keselamatan dan kepercayaannya berbanding dengan cara-cara tradisional
perdagangan. Berkaitan dengan perkara tersebut, latihan ilmiah ini akan
membincangkan perkembangan e-dagang sebagai satu entiti perniagaan di Malaysia
dan juga cabaran-cabaran yang dihadapi oleh usahawan-usahawan e-dagang dalam
memperkembangkan perniagaan masing-masing. Hal ini sangat penting kerana
e-dagang masih lagi dianggap sebagai satu sistem perniagaan baharu yang
memerlukan masa dan pelbagai sistem sokongan lain untuk terus berkembang
sebagai satu budaya perniagaan baharu.