Jumaat, 25 November 2016

Pengenalan

Internet telah menjadi pengantara komunikasi yang paling cepat diterima kegunaannya, telefon mengambil masa 70 tahun, radio 40 tahun, dan televisyen 15 tahun untuk mencapai kejayaan ini. Pada awalnya penggunaan internet dilihat adalah terhad kepada fungsinya sebagai rangkaian data, tetapi kini tidak lagi. Internet merupakan satu saluran untuk meluaskan jualan dan pengedaran dan juga memudahkan e-dagang, iaitu keupayaan menjalankan perniagaan melalui internet.
Internet bukan sahaja sebagai satu cara untuk berhubung dengan pelanggan malahan sebagai satu medium untuk mendapatkan pelanggan baru dan juga sebagai salah satu cara untuk mengekalkan hubungan dengan pelanggan yang sedia ada. Pada era moden ini adalah amat mustahil untuk pengusaha dan pengguna mengenepikan penggunaan teknologi baru sebagai salah satu cara untuk memajukan perniagaan. Perdagangan elektronik atau pun e-dagang boleh didefinisikan dalam pelbagai bentuk perspektif sama ada dalam pengurusan, perspektif ahli ekonomi, teknologi dan juga pemasaran. Dari perspektif pengurusan, e-dagang adalah aplikasi teknologi ke arah penggunaan jentera dan aliran kerja sesuatu perniagaan.
Perdagangan Elektronik, juga dipanggil E-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce (EC) adalah sebuah sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat, terutama telekomunikasi canggih sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya iaitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak-pihak yang ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi.  Kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan Internet khususnya Web untuk mengadakan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai. Dengan e-dagang, sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan beli dari dan di mana sahaja di dunia ini. Prasyarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi e-dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan kita mengkases Internet.  Ini sudah tentunya bermula dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon.

Berdasarkan perkembangan ekonomi semasa, penggunaan e-dagang dijangka akan melonjak naik dari setahun demi setahun sesuai dengan meningkatan penerimaan IT dalam kalangan masyarakat di negara ini. Walau bagaimanapun, di antara yang membelenggu penerimaan e-dagang secara lebih meluas dalam kalangan khalayak ramai ialah persepsi bahawa perniagaan e-dagang masih tidak boleh dipercayai dari segi keselamatan dan kepercayaannya berbanding dengan cara-cara tradisional perdagangan. Berkaitan dengan perkara tersebut, latihan ilmiah ini akan membincangkan perkembangan e-dagang sebagai satu entiti perniagaan di Malaysia dan juga cabaran-cabaran yang dihadapi oleh usahawan-usahawan e-dagang dalam memperkembangkan perniagaan masing-masing. Hal ini sangat penting kerana e-dagang masih lagi dianggap sebagai satu sistem perniagaan baharu yang memerlukan masa dan pelbagai sistem sokongan lain untuk terus berkembang sebagai satu budaya perniagaan baharu.